
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Lundu berjaya menghimpunkan seramai 1,200 peserta menerusi penganjuran larian komuniti pertamanya hari ini.
Jumlah penyertaan luar biasa dalam program sukan tersebut sekali gus berjaya melepasi sasaran awal pihak penganjur iaitu sebanyak 900 peserta.
Program berkonsepkan gaya hidup sihat itu dianjurkan sebagai pendekatan baharu dalam menyampaikan mesej kesedaran pencegahan dadah kepada masyarakat melalui aktiviti santai.
Pengerusi PEMADAM Daerah Lundu Zulkarnain Ismail berkata pendekatan sukan dilihat lebih berkesan dalam mendekati masyarakat berbanding kaedah konvensional seperti ceramah dan pameran.
“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi medium terbaik untuk menyampaikan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat secara lebih dekat dan santai,” katanya.
Zulkarnain berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program larian komuniti berkenaan yang berlangsung di bandar Lundu hari ini.
Menurut beliau kejayaan penganjuran program itu adalah hasil kerjasama erat antara PEMADAM Negeri Sarawak, Pejabat Daerah Lundu serta pelbagai agensi kerajaan.
Program berkenaan turut melibatkan penyertaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni Taman Seri Puteri, Boys Home serta golongan anak yatim tempatan.
Inisiatif kemasyarakatan tersebut turut mencatat pencapaian positif apabila seramai 61 golongan belia mendaftar sebagai ahli baharu PEMADAM daerah.
Peserta program Sapok Biki, 52, menyifatkan penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai platform terbaik untuk membimbing golongan belia agar tidak terjebak dengan gejala sosial.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan, malah dapat menyatupadukan masyarakat dan memberi peluang kepada peserta untuk saling mengenali,” katanya.
Sapok menambah penyertaan peserta dari luar daerah turut membantu mempromosikan bandar Lundu sebagai lokasi tumpuan bagi program komuniti serta aktiviti rekreasi.
-RJ-





