
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Media Selangor
SHAH ALAM, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menegaskan bahawa projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) kini berjalan mengikut jadual selain optimis dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Mei 2029 seperti perancangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI Datuk Saipolyazan M Yusop berkata fasa seterusnya akan menyusul sebaik sahaja kontrak melibatkan Kontraktor Penyedia Perkhidmatan Utama (APCC) dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Perancangan kita memang pada tahap 9.16 peratus dan kita melaksanakannya mengikut progres yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, di sini semalam.
Saipolyazan berkata kos pembinaan setakat ini masih kekal pada harga kontrak asal iaitu RM2.94 bilion namun tidak menolak kemungkinan wujudnya cabaran luar jangka yang boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan bahan binaan.
“Memang ada ura-ura kos akan meningkat, tapi setakat ini kita belum menerima sebarang permohonan (pelarasan harga). Kita masih kekal dengan harga kontrak asal,” jelasnya.
Tambah beliau, antara faktor yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan kos dalam kontrak pembinaan berskala besar adalah kenaikan harga diesel dan bahan binaan.
-RI





