Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kesedaran Awal Autisme Bantu Perkembangan Kanak-Kanak-Rina

By 26 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Juhara Ali Omar/Roslan Rungan(Kunak)

KUNAK, 26 Mei (MalaysiaAktif)– Kesedaran awal terhadap autisme dalam kalangan kanak-kanak penting bagi memastikan mereka menerima intervensi serta sokongan sewajarnya bagi membantu perkembangan secara menyeluruh.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata golongan autisme memerlukan perhatian, sokongan serta penerimaan masyarakat agar dapat menjalani kehidupan lebih berkualiti serta berpeluang mengembangkan potensi diri dalam pelbagai bidang.

“Pendekatan inklusif perlu terus diperkasakan supaya golongan autisme tidak dipinggirkan, sebaliknya diberikan ruang dan peluang yang sama dalam pendidikan, pembangunan sosial serta peluang pekerjaan.

“Kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor pendidikan, kesihatan dan pertubuhan masyarakat bagi memperkasakan lagi program berkaitan autisme di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kesedaran dan Pemerkasaan Autisme Tahun 2026 Peringkat Daerah Kunak di Dewan SJKC Pai Sheng, semalam.

Program berkenaan yang bertujuan memperkukuh kesedaran terhadap Autism Spectrum Disorder (ASD) turut menampilkan sesi pembentangan oleh Profesor Madya Dr. Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk ‘Mengenali Autisme serta Peranan dan Sokongan Ibu Bapa dalam Mengurus Tingkah Laku dan Emosi Anak Autisme.’

Dalam pembentangannya, beliau menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam membantu perkembangan emosi dan tingkah laku anak autisme melalui pendekatan yang positif, konsisten dan penuh kasih sayang.

Selain itu, seramai 300 peserta turut didedahkan dengan ceramah bertajuk Kemahiran Sosioemosi Transisi Kerjaya Individu Autisme oleh Mohammad Izzat Ebrahim yang memberi penekanan terhadap persediaan menghadapi alam pekerjaan serta cabaran kehidupan berdikari.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Hospital Kunak, Pejabat Pendidikan Daerah Kunak, Pejabat Kebajikan Daerah Kunak, SJKC Pai Sheng Kunak, SK Kampung Selamat Kunak dan Pusat Autisme Sabah (PAUS) Cawangan Tawau.

-RJ-

Tinggalkan komen anda