Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Ibadah Korban Tellian 2026 Manfaat Hampir 1,000 Penduduk

By 5 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wenanddo (Mukah)

MUKAH, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Program ibadah korban di kawasan Tellian tahun ini mencatat peruntukan tertinggi berjumlah RM78,662.50, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk termasuk golongan asnaf sempena Aidiladha 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, sebanyak tujuh ekor lembu disumbangkan untuk pelaksanaan ibadah korban di beberapa masjid dan surau sekitar kawasan Tellian.

Sumbangan tersebut melibatkan Masjid Setiaraja Mukah, Surau Babul Jannah Kampung Petanak Hulu, Masjid Darul Huda Kampung Kuala Lama, Masjid Nurul Huda Kampung Judan, Masjid Darul Falah Kampung Penat serta Surau Kampung Tellian Laut.

Menurut Royston, peningkatan jumlah peruntukan itu membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat program kebajikan tersebut.

“Program ibadah korban bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menjadi platform terbaik untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai lapisan,” katanya ketika ditemui semasa penyerahan sumbangan lembu korban di sini hari ini.

Beliau berkata, program tersebut akan diteruskan setiap tahun sebagai usaha membantu masyarakat setempat selain memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.

“Ibadah korban ini membawa nilai-nilai murni yang sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat seperti kerjasama, bantu-membantu dan sikap prihatin terhadap golongan memerlukan,” katanya lagi.

Penduduk bersama jawatankuasa masjid dan surau berganding bahu melaksanakan pelbagai tugasan termasuk melapah, memotong, menimbang dan mengagihkan daging kepada penerima yang layak.

Penglibatan aktif masyarakat dalam program tersebut sekali gus meringankan urusan pengagihan serta menjadi medium mengeratkan hubungan antara generasi muda dan golongan veteran.

-RJ-

Tinggalkan komen anda