
Laporan/foto: Sharifah Robiah (Sibu)
SIBU, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Kira-kira 1,300 jemaah hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Usahajaya Baru, di sini hari ini.
Khatib Ustaz Muhammad Zubair Abdul Halim menerusi khutbah bertajuk Ibadah Korban Mendidik Mujahadah Dalam Beribadah menyeru umat Islam agar meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya.
Menurut Muhammad Zubair, sambutan Aidiladha bukan sekadar perayaan, malah mengingatkan umat Islam terhadap kisah pengorbanan dan ketaatan keluarga Nabi Ibrahim alaihisalam.
“Hari Raya Aidiladha ini juga mengingatkan kita kepada sebuah lembaran sejarah yang agung. Ia mengimbau kembali kisah ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah SWT daripada sebuah keluarga mithali,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa umat Islam pada masa kini berdepan cabaran besar dalam melawan hawa nafsu dan kesibukan dunia yang boleh melalaikan manusia.
“Pada hari ini ujian kita adalah mujahadah melawan musuh yang tidak kelihatan, iaitu hawa nafsu yang bersarang di dalam dada, serta kesibukan duniawi yang sering melalaikan,” katanya lagi.
Selesai solat sunat dan khutbah Aidiladha, para jemaah bersama-sama menikmati juadah yang disediakan pihak masjid.
-RJ-





