Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Perkasa Kesedaran Komuniti Jepak

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Faridah Ajek/Mohammad Ariffin Hassan/Jasper Chunggat (Bintulu)

BINTULU, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bintulu di Balai Raya Jepak menjadi salah satu platform memperkukuh kesedaran komuniti setempat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah menerusi pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.

Program yang membawa slogan “Memperkasa Generasi Terbilang Tanpa Dadah” itu bertujuan menyediakan akses perkhidmatan AADK secara terus kepada komuniti, khususnya melibatkan aspek pencegahan, rawatan, pemulihan serta khidmat sokongan kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee ketika menyempurnakan program itu semalam berkata, pendekatan turun padang seperti itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman dadah selain mengukuhkan kerjasama antara agensi dan komuniti.

“Dengan adanya program seperti ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh jaringan kerjasama, malah dapat meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap bahaya dadah.

“Ia turut membantu membentuk komuniti yang proaktif dalam melaksanakan intervensi awal, di samping mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Sebuan Besar, Sauni Sibi, 74, menyifatkan program berkenaan wajar diteruskan secara berkala bagi memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.

“Program seperti ini amat baik untuk komuniti kerana ia memberi pendedahan secara langsung kepada penduduk mengenai kesan buruk dadah serta saluran bantuan yang boleh diperoleh,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program berlangsung termasuk pendaftaran Skuad Antidadah bagi menggalakkan penyertaan masyarakat sebagai ahli baharu, pembukaan kaunter aduan AADK dan Perkhidmatan Bergerak Rawatan dan Pemulihan (MRT), pameran kesedaran bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu serta sesi Sembang Santai dan Inspirasi Forum Terbuka.

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia, komuniti Kampung Jepak dan pelajar Giat Mara Bintulu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda