Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kampung Bantal Bakal Dinaik Taraf Sebagai Kampung Diraja Pertama Di Pahang

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Azham/Ali Imran (Jerantut)

JERANTUT, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan hasrat menjadikan Kampung Bantal di sini sebagai Kampung Diraja yang pertama di negeri Pahang.

Baginda bertitah perkampungan tersebut mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi kepada keluarga diraja selain menyimpan pelbagai kenangan sejarah yang tersendiri.

“Saya nak jadikan kampung ini sebagai kampung khas, dan jika beberapa penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan, kita naik taraf supaya jadi Kampung Diraja. Tiada lagi di Pahang ini ada Kampung Diraja, ini kali pertama,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan alat perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) dan bantuan kepada asnaf di Kampung Bantal di sini, kelmarin.

Bagi merealisasikan impian penarafan Kampung Diraja, baginda menegaskan kepentingan pasca-pembangunan termasuk keperluan menaik taraf kemudahan fizikal seperti jalan raya dan jambatan demi keselamatan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Baginda turut berkongsi bahawa nama Bantal itu sendiri mempunyai keunikan tersendiri kerana merupakan nama panggilan zaman kanak-kanak bagi Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke Kampung Bantal diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib bersama 27 kakitangan institusi tersebut.

Pada program tersebut, Baginda berkenan menyantuni golongan asnaf serta menyempurnakan penyerahan pelbagai peralatan kesihatan kritikal sumbangan IJN, termasuk Automated External Defibrillator (AED) dan mesin pemeriksaan tekanan darah mudah alih untuk kegunaan klinik kesihatan di Kampung Bantal dan Kuala Sat.

Al-Sultan Abdullah turut menitipkan pesanan agar penduduk setempat sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan dan kebersihan premis masing-masing selain menyarankan generasi muda di kawasan berkenaan merebut peluang mengusahakan aktiviti pertanian moden dan industri kraf tangan bagi menjana pendapatan domestik.

Terdahulu, Baginda bersama Tengku Hassanal turut meluangkan masa menyertai aktiviti gotong-royong bersama masyarakat kampung serta melawat projek fertigasi timun yang diusahakan di Kampung Gusai, di sini.

-AA-

Tinggalkan komen anda