
Laporan/Foto: Municca Kiat (Ranau)
RANAU, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Penerima Tanpa Akaun Bank di Pedalaman Sabah dilihat mampu memberi manfaat yang lebih luas terutama kepada penerima di kawasan luar bandar termasuk di daerah Ranau.
Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam berkata, bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank diberi kemudahan untuk menuntut secara tunai bantuan berkenaan di lokasi program
“Selain memudahkan masyarakat membuka akaun bank agihan STR secara tunai melibatkan institusi kewangan ini sebenarnya dilaksanakan dengan efisien, cepat dan teratur.
“Program ini memberi manfaat kepada penduduk sekitar Ranau menghadapi cabaran ekonomi dan memudahkan juga mereka menerima manfaat terutama menerusi Jualan Rahmah yang diadakan di sekitar Dewan Kampung Lohan hari ini,” katanya semasa program berkenaan di sini pada Sabtu.
Penerima STR, Muji @ Sahinin Juhalip, 63, memberitahu kemudahan untuk menuntut STR secara tunai membolehkan penerima sepertinya untuk membeli keperluan asas dengan lebih mudah terutama bagi golingan warga emas.
“Program ini sangat membantu golongan kurang berkemampuan dan warga emas seperti saya dalam menampung perbelanjaan harian. Dengan bantuan tunai yang diterima hari ini, saya dapat membeli barangan keperluan menerusi Jualan Rahmah tanpa perlu bersesak ke pekan,” katanya.
Turut diadakan agihan bantuan bakul makanan daripada Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) dan Program Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barangan dapur dan keperluan asas pada harga berpatutan.
Antara agensi yang terlibat dalam menjayakan program itu ialah Pejabat Daerah Ranau, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kewangan dan BSN.
-RJ-





