Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

RM47.7 Juta Untuk Perkasa Syiar, Pendidikan Islam Negeri Sembilan

By 18 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Khairul Othman/Media MBNS (Negeri Sembilan)

SEREMBAN, 18 Mei (MalaysiAktif) – Kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan berjumlah RM47.7 juta kepada Negeri Sembilan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pengimarahan dan pembangunan syiar Islam di negeri tersebut.

Penyerahan cek cura itu disaksikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menunaikan solat Jumaat bersama ahli kariah di Masjid Sri Sendayan di sini, Jumaat lepas.

Dana yang disalurkan itu merangkumi pelbagai inisiatif menyeluruh termasuklah bayaran imbuhan, elaun imam, bilal, siak, guru takmir, dan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Ia turut mencakupi inisiatif pemberian sumbangan khas secara sekali beri (one-off).

Peruntukan ini juga dikhususkan sebagai bantuan pembiayaan bagi projek penyelenggaraan dan naik taraf institusi pendidikan Islam di seluruh Negeri Sembilan.

Anwar berharap sokongan tersebut dapat memberikan impak yang positif kepada penggerak agama di peringkat akar umbi.

“Semoga peruntukan yang disampaikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa institusi pendidikan Islam dan mengangkat nilai syiar Islam di kalangan para imam, guru takmir dan guru KAFA,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kesempatan menyantuni jemaah di masjid yang indah tersebut, sambil menekankan kepentingan fungsi masjid dalam komuniti.

“Mendiri dan memakmurkan masjid merupakan tanggungjawab kita bersama di samping mempertautkan keimanan kepada Allah SWT.

“Semoga sikap, jati diri dan keyakinan yang lahir dari peranan masjid dapat memacu semangat perjuangan kita semua untuk terus cekal dengan rencam dan cabaran semasa yang dihadapi hari ini,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda