Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kejayaan Glide Technology Bukti Komitmen KUSKOP Perkembang Syarikat Diterajui Wanita

By 5 Mei 2026Mei 6th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/KUSKOP

SHAH ALAM, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Kejayaan Glide Technology dalam pembuatan berteknologi tinggi membuktikan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk membangunkan lebih banyak syarikat diterajui wanita dalam industri bernilai tinggi melalui inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata Glide mewakili model syarikat yang ingin disokong KUSKOP untuk membina jenama kukuh, melabur dalam teknologi dan melonjak dalam rantaian nilai.

“Ini menunjukkan ekosistem perniagaan Malaysia mampu keluar daripada perangkap ‘beli murah, jual murah,” katanya pada Majlis penyerahan cek cura yang berlangsung di ibu pejabat syarikat tersebut, di sini semalam.

Glide Technology Sdn. Bhd. melakar pencapaian signifikan apabila menerima kemudahan pembiayaan bernilai RM2.5 juta daripada SME Bank di bawah Program Pembiayaan MySMELady 2.0 bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran teknologi tingginya.

Pembiayaan di bawah DEWI itu bakal digunakan khusus untuk pembelian peralatan makmal, perluasan mesin pengeluaran, serta menaik taraf infrastruktur elektrik syarikat daripada 400A kepada 1400A bagi menyokong pengeluaran berskala besar.

Sementara itu, Presiden Glide Technology Datuk Muhazli Muhamad menyifatkan suntikan modal itu akan memperkukuh asas perindustrian syarikat yang telah dibina sejak hampir dua dekad lalu.

“Ia juga memperkukuh produk buatan Malaysia, perkongsian institusi Malaysia dan cita-cita perindustrian Malaysia. Kami komited untuk menunaikan kepercayaan yang diletakkan terhadap kami,” katanya.

Ketua Pegawai Kewangan Glide Group Datin Zarita Azlin Ibrahim pula, menegaskan dana tersebut akan diuruskan dengan tadbir urus kewangan yang ketat bagi memastikan setiap ringgit menyumbang kepada kapasiti produktif syarikat.

“Peranan kami adalah memastikan setiap ringgit disalurkan kepada kapasiti produktif, dengan piawaian tadbir urus kewangan dan pelaporan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang kami,” ulasnya mengenai disiplin modal syarikat.

-RI

Tinggalkan komen anda