
Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/KPDN Pahang
KUANTAN, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas 59,000 liter (l) diesel yang disimpan secara tidak sah di sebuah premis di kawasan Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), di sini semalam.
Serbuan menerusi operasi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) hasil risikan dan pemeriksaan KPDN Pahang mendapati premis itu digunakan sebagai tempat penyimpanan barang kawalan iaitu minyak diesel tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyita lima unit skid tank (tangki gelincir) dan sebuah lori tangki industri yang keseluruhannya memuatkan 59,000l diesel itu.
“Tindakan sitaan telah dilaksanakan oleh pasukan pemeriksaan bagi tujuan siasatan lanjut. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM355,000.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122] serta melanggar Subperaturan 18(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Beliau berkata KPDN akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang penyelewengan melibatkan barang kawalan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.
-RI





