
Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 14 Mei (MalaysiAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pengurangan sewa sebanyak 20 peratus kepada 5,149 penyewa premis perniagaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Inisiatif yang dianggarkan menelan kos RM1.4 juta itu akan dilaksanakan mengikut PBT masing-masing, termasuk Majlis Bandaraya Seremban serta majlis-majlis perbandaran yang lain.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini sebagai usaha merancakkan semula ekonomi tempatan.
“Pengurangan tersebut merangkumi premis perniagaan gerai di bawah PBT dan akan dilaksanakan bermula Jun hingga Disember iaitu selama tempoh tujuh bulan.
“Saya berharap pengurangan ini dapat membantu mengurangkan beban peniaga serta memberi ruang pemulihan kepada sektor perniagaan tempatan,” katanya pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini semalam.
-RI





