Skip to main content
Berita TempatanSabah

Komuniti Setempat Sambut Baik Kempen Membasmi Infestasi Tikus

By 15 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Janifer Stanis (Putatan)

PUTATAN, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Program Kempen Membasmi Infestasi Tikus Daerah Putatan 2026 menerima reaksi positif dan sambutan menggalakkan daripada peniaga serta penduduk setempat.

Sukarelawan Trash Hero Kota Kinabalu, Sabrezani S. Ghani, 46, menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang amat baik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran dan kesihatan awam.

“Program seumpama ini memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penyakit Leptospirosis dan hantavirus selain mengingatkan orang ramai tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan persekitaran demi kesejahteraan bersama,” katanya ketika ditemui di Pasar Jumbo Putatan pada Khamis.

Beliau yang berharap program berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa hadapan berkata penglibatan aktif komuniti sangat penting kerana ia mampu membantu mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan haiwan, khususnya yang berpunca daripada tikus secara lebih holistik.

Sementara itu, peniaga Pasar Awam Putatan, Maslina Maidin, 48, berkata program tersebut amat bermanfaat kerana mampu mendidik masyarakat terutama para peniaga supaya lebih peka dan berhati-hati terhadap risiko penyakit bawaan tikus.

“Perkongsian seperti ini penting bagi memastikan tahap kebersihan komuniti sentiasa terpelihara selain membantu masyarakat memahami langkah pencegahan yang sewajarnya.

Sebagai makluman, Program Kempen Membasmi Infestasi Tikus Daerah Putatan 2026 merupakan program kerjasama antara Majlis Daerah Putatan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

-FN

Tinggalkan komen anda