
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor
KULAI, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Suami maut manakala isteri cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Kulai-Kota Tinggi, selepas simpang Felda Taib Andak, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.23 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 56 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Mitsubishi Xpander disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian pemandu.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 3.31 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler serta sebuah kereta.
“Pemandu kereta lelaki disahkan meninggal dunia dan tersepit, manakala pemandu lori treler Fuso 30 tan yang membawa muatan kelapa sawit tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fauzi Che Idris bersama sembilan anggota dan tamat jam 5 petang.
-RI





