
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Facebook Zahid Hamidi
RUNGKUP, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Program MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 menghimpunkan pelbagai inisiatif pendidikan, kebajikan, keusahawanan dan pembangunan komuniti demi manfaat rakyat, khususnya golongan muda serta keluarga yang memerlukan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian bantuan melibatkan pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti kepada pelajar, keluarga serta masyarakat setempat.
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasa agenda pembangunan insan dan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Pelaksanaan MARA Prihatin merupakan usaha berterusan dalam mendekati masyarakat serta menjadi jambatan harapan kepada rakyat untuk membina kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
“Usaha seperti ini juga diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk melakar masa depan yang lebih cemerlang melalui akses pendidikan, latihan kemahiran dan sokongan pembangunan komuniti secara menyeluruh,” katanya ketika berucap merasmikan program di Politeknik Maritim Sultan Ahmad Shah, di sini kelmarin.

Ahmad Zahid merakamkan gambar sebagai kenangan bersama hadirin yang hadir.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata kepentingan memperkukuh agenda pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan teknologi masa depan turut diberi penekanan bagi memastikan generasi muda terus relevan serta mampu memenuhi keperluan industri semasa.
“Penyaluran bantuan yang lebih bersasar, cepat dan berimpak kepada rakyat juga menjadi fokus utama agar setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar,” ujarnya.
Bagan Datuk menjadi lokasi peluncuran program yang melibatkan kerjasama strategik antara MARA dan agensi di bawahnya seperti Yayasan Pelajaran MARA (YPM), GiatMARA dan Rural Capital Berhad (RCB).
-RI





