Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

MyKad Baharu: Tidak Perlu Tergesa-Gesa Buat Penukaran – Saifuddin

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Kementerian Dalam Negeri (KDN)

JOHOR BAHRU, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan rakyat Malaysia tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad sedia ada apabila MyKad baharu diperkenalkan mulai 1 Jun 2026.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan urusan rakyat terus berjalan lancar tanpa kesesakan, kekeliruan atau beban yang tidak perlu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Saifuddin meninjau kemajuan pembinaan RTS Link bagi memastikan kesiapsiagaan fasiliti kawalan sempadan menjelang operasi penuh hujung 2026

“Memiliki MyKad adalah satu kewajipan, namun rakyat tidak perlu menukar kad secara serentak. Jangan berpusu-pusu ke JPN kerana MyKad sedia ada masih sah dan boleh digunakan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, di sini bagi melihat tahap kesiapsiagaan fasiliti kawalan sempadan negara itu yang dijadual beroperasi akhir tahun ini, hari ini.

Saifuddin berkata MyKad baharu itu bakal dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dipertingkat termasuk teknologi laser, ultraungu, hologram, teks mikro, sistem kod respons pantas (QR) serta cip dengan tahap enkripsi lebih tinggi bagi memperkukuh keselamatan identiti rakyat dan integriti dokumen negara.

-FN

Tinggalkan komen anda