Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Perarakan Niti Daun Perkukuh Warisan, Perpaduan Kanowit

By 8 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rinta Engkamat/Nicholas Jenaka (Kanowit)

KANOWIT, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Perarakan Niti Daun yang julung kali diadakan sempena Kanowit Cultural Festival (KCF) Siri 1.0 2026 berjaya menghimpunkan 37 kontinjen melibatkan kira-kira 1,000 peserta.

Acara tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan persatuan di daerah Kanowit sebagai simbolik memperkukuh warisan serta perpaduan komuniti.

Program dimulakan dengan upacara miring dan muka kota bagi memohon keberkatan serta kelancaran sebelum perarakan mengelilingi Pekan Kanowit dimulakan.

Peserta perarakan Tonny Chapie, 40, berkata acara itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya tempatan, malah menjadi medium penting dalam memelihara warisan agar terus diwarisi generasi akan datang.

“Penganjuran program ini turut memperkukuh semangat perpaduan melalui penglibatan bersama dalam persiapan dan pelaksanaan acara,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini hari ini.

Seorang lagi peserta Mutang Karani, 53, berkata perarakan Niti Daun merupakan simbol identiti masyarakat yang menyatukan komuniti melalui semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap warisan nenek moyang.

Acara tersebut juga dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan budaya yang mampu menarik pengunjung sekali gus membantu merancakkan ekonomi penduduk tempatan.

Perarakan tersebut turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana.

-RJ-

Tinggalkan komen anda