
Laporan/foto: Siti Suhaila Batun (Tuaran)
TUARAN, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Pesta Kaamatan terus menjadi medium merancakkan pembangunan ekonomi serta memperkukuh perpaduan komuniti di samping berperanan sebagai simbol warisan budaya di Sabah.
Timbalan Pengerusi Randawi Tavantang Baxter Jilan berkata penganjuran sambutan yang diperluaskan hingga ke peringkat mukim memberi impak menyeluruh kepada penyertaan masyarakat.
“Pendekatan ini mengukuhkan perpaduan dan membuka peluang ekonomi kepada komuniti tempatan melalui pelbagai aktiviti berkaitan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Baxter menjelaskan Kaamatan tahun ini melibatkan hampir semua daerah termasuk peringkat mukim sebelum peserta mewakili daerah masing-masing ke peringkat seterusnya.
Menurut beliau penglibatan meluas tersebut memberi kesan langsung kepada perpaduan dan pembangunan ekonomi setempat secara konsisten.
Baxter yang juga Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Sabah Bahagian Pantai Barat berkata penyertaan golongan muda dalam program Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) tahun ini menunjukkan peningkatan.
“Hampir separuh peserta RTK terdiri daripada belia bekerjaya termasuk guru, usahawan serta pramugara,” katanya menambah penyertaan golongan itu penting bagi memastikan kesinambungan budaya serta nilai tradisi dalam kalangan generasi muda.
Baxter berkata acara Unduk Ngadau kekal sebagai komponen utama sambutan yang membawa nilai budaya berasaskan legenda Huminodun.
Sementara itu, peserta RTK Kiulu 2026 Hassan Der, 24, berkata sambutan tersebut memberi kesan ekonomi kepada peniaga kecil melalui peningkatan jualan produk tempatan.
“Kehadiran pengunjung pelbagai lapisan masyarakat membantu meningkatkan pendapatan serta memperluaskan pasaran produk komuniti setempat,” katanya.
Pesta Kaamatan yang disambut sepanjang bulan Mei terus membuktikan peranannya sebagai wadah penyatuan rakyat selaras dengan usaha memartabatkan identiti masyarakat Kadazandusun
-RJ-





