
Laporan/foto: Eliasak Omar/JAS Pulau Pinang
BUTTERWORTH, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Pemeliharaan alam sekitar memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuk kerajaan, industri dan masyarakat, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Dato’ Seri Sundarajoo Somu.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dan sektor industri dalam memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian di Seminar Pematuhan Industri Terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di Pusat Komuniti dan Kebudayaan Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA@Butterworth Arena), di sini semalam.
Bertemakan ‘Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama’, seminar anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (KASPEN) bersempena sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Pulau Pinang itu diyakini mampu meningkatkan tahap kesedaran, pematuhan serta tadbir urus alam sekitar dalam kalangan pemain industri di negeri berkenaan.
Program yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada wakil industri, jururunding alam sekitar serta pegawai JAS negeri memberi penjelasan serta memperkukuh kefahaman berkaitan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, khususnya melibatkan aspek pengurusan operasi industri yang lebih mesra alam dan berintegriti.
Para peserta turut diberikan penerangan terperinci berhubung keperluan semakan semula dokumen Kebenaran Bertulis (KB) sedia ada selain penambahbaikan dokumentasi terkini bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
-RI





