
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Facebook Selangor Royal Office
SHAH ALAM, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Dewan di-Raja Selangor menyangkal keras dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan tegas, Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menjelaskan bahawa titah Baginda semasa Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 20 April lalu adalah selari dengan prinsip Raja Berperlembagaan.
Dewan di-Raja menegaskan bahawa Sultan Selangor enggan sekadar menjadi formaliti atau rubber stamp dalam sistem pemerintahan sebaliknya berperanan sebagai instrumen semak dan imbang terhadap pihak eksekutif.
“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan bertindak bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga. Nasihat dan teguran Baginda adalah penting bagi memastikan pentadbiran negeri dijalankan dengan penuh tanggungjawab tanpa dipengaruhi kepentingan politik,” menurut kenyataan tersebut semalam.
Mendedahkan situasi sebenar, Dewan di-Raja memaklumkan baginda kerap menerima aduan terus daripada rakyat yang terdesak mengenai isu-isu harian seperti masalah banjir yang berlarutan, isu kutipan sampah yang tidak teratur serta keadaan jalan berlubang dan infrastruktur yang daif.
Menurut kenyataan berkenaan, aduan-aduan tersebut bukan bersifat ‘surat layang’ kerana pengadu menyertakan butiran peribadi lengkap, membuktikan rakyat meletakkan harapan tinggi agar Baginda menegur kerajaan negeri demi kesejahteraan mereka.
Mengulas mengenai prosedur pentadbiran, kenyataan itu menyebut bahawa mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Menteri Besar dikehendaki berunding dengan Sultan dalam hal ehwal negeri.
Dewan di-Raja turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Baginda yang telah memayungi Selangor selama 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda.
Pengalaman luas tersebut menjadikan Baginda sangat memahami selok-belok undang-undang dan peranan sebagai Ketua Negeri dalam memastikan sistem demokrasi berparlimen berjalan lancar.
-RI





