
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang
SHAH ALAM, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Damansara di Taman Intan kini mencapai kemajuan fizikal 97 peratus siap.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Datuk Ir. Izham Hashim berkata projek RM8 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai ini.
“Projek ini dibina untuk menyelesaikan isu banjir, terutama banjir kilat di Taman Intan yang merupakan sebelah Anak Sungai Damansara,” katanya kepada media selepas turun padang melihat Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Damansara, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.
Izham menjelaskan struktur dinding penahan dibina bagi menyekat limpahan air sungai utama daripada memasuki kawasan perumahan penduduk yang agak rendah.
“Sistem parit dilengkapi kolam takungan banjir manakala rumah pam automatik berkapasiti tinggi disediakan bagi menarik air serta sisa sampah sekali,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap trend kecurian kabel utiliti di bilik kawalan pam yang didapati semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
“Saya risau keselamatan orang curi kabel kerana kesnya sangat serius. Kita rugi RM200,000 untuk ganti balik alatan yang dipecah masuk,” katanya.
Sehubungan itu, satu pasukan petugas khas bersama pihak polis akan dibentuk segera bagi membanteras kegiatan jenayah sabotaaj harta benda awam berkenaan.
“Petang ini saya ada libat urus dengan MBPJ untuk tengok langkah sementara dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu banjir secara berterusan,” katanya.
Kerajaan negeri komited memantau rapi setiap projek tebatan banjir bagi memastikan ia siap mengikut jadual demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.
-RI





