
Laporan/foto: Mohammad Amirul Dait (Kuala Penyu)
KUALA PENYU, 21 Mei (MalaysiaAktif)– Program Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 Peringkat Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen) di Kuala Penyu mengetengahkan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS).
Berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kuala Penyu, pendekatan tersebut merupakan salah satu strategi bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan masyarakat.
Komander Artileri 5 Divisyen, Kolonel Hizamuddin Haris berkata pendekatan WoGos juga merupakan medium penting dalam menyatukan peranan agensi kerajaan dan masyarakat bagi menyokong agenda pertahanan negara.
“Program ini memberi penekanan kepada Teras 4 PSPN 2026–2030 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) bagi memperkukuh hubungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan masyarakat awam.
“Pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) yang diketengahkan turut menjadi medium penting dalam menyatukan peranan agensi kerajaan dan masyarakat bagi menyokong agenda pertahanan negara,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan di sini pada Rabu.
Menurut beliau lagi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menampilkan pelbagai aset dan aktiviti berkaitan ketenteraan serta keselamatan negara sepanjang program berlangsung.
“Program ini menyediakan perkhidmatan menerusi kaunter pameran seterusnya menjadi platform untuk masyarakat memahami fungsi dan sumbangan ATM kepada negara.
“Masyarakat dapat melihat sendiri peranan dan sumbangan anggota ATM dalam menjaga keselamatan negara serta menyantuni rakyat,” ujarnya.
Dihadiri seramai 400 pengunjung, aktiviti yang mendapat sambutan antaranya pameran aset ketenteraan, promosi penyertaan Askar Wataniah, persembahan pancaragam tentera, demonstrasi tempur tanpa senjata serta Jualan Rahmah MADANI.
Turut hadir, Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Jepinus Kimuin; Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Dr Suntik Tuin; dan Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu, Rosaline Oliver.
-RJ-





