
Laporan/foto: Siti Zuraida MDNorAidi/Samsulkhair
JEMPOL, 1 Mei (Malaysia Aktif) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyertai majlis santapan bersama rakyat di Masjid Tuanku Muhriz, sejurus selesai menunaikan solat Jumaat, semalam.
Baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah, sekali gus mengeratkan hubungan antara institusi beraja dan rakyat jelata.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di masjid berkenaan disambut penuh takzim oleh masyarakat setempat serta barisan kepimpinan daerah dan pengurusan masjid.
Seawal jam 12.30 tengah hari, pekarangan masjid mula dipenuhi warga Jempol yang tidak melepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat pemerintah kesayangan mereka.
Suasana di dalam masjid pula kelihatan penuh namun teratur ketika solat Jumaat berlangsung, mencerminkan semangat perpaduan serta ketaatan rakyat terhadap institusi beraja di Negeri Sembilan.
Warga daripada pelbagai lapisan usia hadir bagi menunaikan kewajipan solat Jumaat bersama baginda, selain mengambil kesempatan untuk bersalaman dan menzahirkan penghargaan atas kesudian baginda berkunjung ke daerah tersebut.
Program berkenaan diakhiri dengan keberangkatan pulang baginda dan anakanda, meninggalkan kenangan manis dalam kalangan penduduk Bandar Seri Jempol.
-AA-





