
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Jackson Abell (Bau)
BAU, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Program Revisiting Paku Rock Maze Garden: Green & Gold Experience yang berlangsung selama empat hari menjadi inisiatif penting dalam memperkukuh kedudukan kawasan tersebut sebagai destinasi ekopelancongan mampan berasaskan komuniti.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata komitmen penduduk setempat berjaya mengangkat Paku Rock Maze Garden (PRMG) daripada lokasi kurang dikenali kepada destinasi pelancongan berpotensi tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa daerah Bau mempunyai kekayaan sumber semula jadi yang mampu menjadikannya antara pusat pelancongan utama di peringkat negeri.
“Program ini amat bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia serta mencerminkan kekuatan semangat komuniti dalam memartabatkan khazanah tempatan,” katanya ketika merasmikan program itu hari ini.
Willie turut mengumumkan insentif berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Paku sebagai sokongan terhadap usaha pemuliharaan kawasan berkenaan.
Program yang berlangsung sehingga 3 Mei ini mengetengahkan keunikan formasi batuan semula jadi menyerupai laluan maze yang dikelilingi ekologi hutan terpelihara.
Sepanjang karnival berlangsung, sebanyak 40 reruai jualan disediakan yang menawarkan pelbagai produk tempatan, makanan tradisional serta kraftangan komuniti.
Turut diadakan adalah Majlis Perasmian Kiosk Paku Rock Maze Garden bagi memperkukuh kemudahan fasiliti dan keselesaan kepada para pengunjung.
-RJ-





