
Laporan/foto: Ainah Liman/Nuar@Salamat Jamie (Keningau)
KENINGAU, 20 Mei (MalaysiaAktif)– Pelbagai usaha perlu digarap bagi memperkukuh peranan pertubuhan atau persatuan Murut Nabai dalam memastikan warisan budaya etnik berkenaan terus dipelihara dan dihargai oleh generasi muda.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Murut Nabai Kampung Patikang Laut, Nuar @ Salamat Jamie berkata antara cadangan yang diketengahkan termasuk pelaksanaan program kebudayaan dan pemeliharaan adat tradisi.
Tambahnya, usaha berkenaan mampu dicapai melalui penglibatan secara komprehensif Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) yang turut menumpukan penglibatan persatuan dan komuniti secara aktif dalam aktiviti warisan budaya.
“Dalam usaha memastikan kesinambungan adat dan budaya masyarakat Murut Nabai, kewujudan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) turut dilihat sebagai medium penting dalam memindahkan ilmu adat, bahasa dan sistem sosial masyarakat peribumi Sabah kepada generasi muda.
“Institusi komuniti tersebut diusahakan oleh Pertubuhan Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah atau Sunduan Nabalu. Ketika ini seramai 15 pelajar sedang mengikuti pengajian dan mendalami ilmu adat masyarakat Murut Nabai menerusi institusi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Berkongsi mengenai sejarah, budaya dan perkembangan semasa etnik Murut Nabai, Nuar percaya sokongan daripada masyarakat adalah struktur penting untuk mengukuhkan peranan persatuan mengangkat identiti Murut Nabai ke peringkat yang lebih tinggi.
“Persatuan Murut Nabai juga terus memainkan peranan sebagai platform penyatuan masyarakat dalam memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama serta penghargaan terhadap khazanah budaya tempatan agar terus kekal relevan dan dihormati pada masa hadapan,” ujarnya.
Terkenal dengan tarian tradisional Mansayau dan salah satu sub-etnik utama masyarakat Murut di Sabah, masyarakat Murut Nabai menetap di lebih 15 buah kampung di sekitar daerah Keningau antaranya Kampung Tuarid Taud, Kampung Tuarid Liawan dan Tatal serta Kampung Dangulad.
-RJ-





