
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Hospital Teluk Intan
RUNGKUP, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Hampir 1 bilion belia di seluruh dunia berisiko mengalami kehilangan pendengaran akibat tabiat buruk seperti mendengar muzik yang terlalu kuat menggunakan fon telinga (earbuds) atau fon kepala (headphone) dalam tempoh yang lama.
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Negeri Perak, Dr. Muhammad Najib Nordin, data daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan bahawa Noise-Induced Hearing Loss (NIHL) merupakan penyakit pekerjaan (Occupational Disease) tertinggi yang dilaporkan di Malaysia mengatasi faktor-faktor lain seperti genetik dan jangkitan.
“Di hospital, pakar ORL (Otorinolaringologi) dan audiologi sering menerima pesakit yang sudah berada di peringkat kronik akibat NIHL. Oleh itu, saya menyeru para majikan agar memperkasakan program pemuliharaan pendengaran dan mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Kebisingan) 2015.
“Tanggungjawab kita bukan sahaja melihat kepada keuntungan produktiviti semata-mata, tetapi memastikan pekerja selamat daripada pendedahan bunyi yang terlalu bising di tempat kerja dengan penuh ehsan. Ketahuilah hak anda bahawa kerosakan saraf pendengaran akibat bunyi bising adalah kekal, namun 100 peratus boleh dicegah,” katanya.
Beliau yang berkata demikian ketika merasmikan Sambutan World Hearing Day Peringkat Negeri Perak 2026 di Masjid Tuminah Hamidi, di sini kelmarin turut menitipkan pesanan khas kepada golongan muda agar mengamalkan Rule 60/60 ketika menggunakan gajet audio.
“Kepada anak-anak muda, patuhilah Rule 60/60 dengan mendengar muzik pada tahap kelantangan (volume) tidak melebihi 60 peratus dan merehatkan telinga selepas 60 minit. Langkah ini penting bagi memastikan kesihatan pendengaran tidak terjejas sebelum terlambat,” katanya.
Beliau hadir mewakili Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Dato’ Sivanesan Achalingam.
Turut hadir Ketua Otorinolaringologi Negeri, Dato’ Dr. Philip Rajan, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Nazrul Fazami Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Dato’ Shahrul Zaman Yahya, Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi serta ketua jabatan dan agensi sekitar daerah Bagan Datuk.
-AA-





