
Laporan/foto: Zuriatina Tamat/Norsaedah Haron (Kluang)
KLUANG, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Program Wanita Cukup Berani 2026 Negeri Johor yang berlangsung di Dewan Datuk Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, di sini semalam mengetengahkan dua ikon usahawan wanita bimbingan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Johor yang berjaya mengubah kehidupan menerusi bidang bakeri dan jahitan.
Program kolaborasi antara KEMAS Negeri Johor bersama Wanita Hari Ini TV3 itu turut mendapat liputan siaran langsung menerusi rancangan Malaysia Hari Ini, sekali gus memberi pendedahan lebih luas terhadap kejayaan usahawan wanita luar bandar.
Ikon Usahawan KEMAS Negeri Johor dan Ikon Kebangsaan 2024, Hanafiza Hassan, 35, dari Tangkak berkata beliau memulakan perjalanan sebagai usahawan secara kecil-kecilan sebelum mengembangkan perniagaan bakeri yang kini lebih dikenali.
“Pada 2019 saya berhenti kerja sebagai jururawat swasta dan pulang ke kampung untuk menjaga ayah yang sakit. Saya mula aktif mengikuti kelas KEMAS sehingga akhirnya diangkat sebagai Ikon Usahawan KEMAS Negeri Johor dan Ikon Kebangsaan 2024,” katanya.
Menurut Hanafiza, sebelum ini beliau hanya menjalankan perniagaan kuih dan roti secara kecil-kecilan di rumah sewa di Johor Bahru sebelum kembali ke Tangkak dan memfokuskan sepenuhnya dalam bidang bakeri.
Sementara itu, Norhapidah Abdul Aziz, 46, dari Kluang pula membuktikan minat mendalam dalam bidang jahitan mampu menjadi sumber pendapatan utama selepas mengikuti kelas KEMAS.
“Asalnya saya hanya datang ke kelas KEMAS untuk menimba ilmu menjahit kerana minat. Dari situ saya terus belajar dan mengikuti semua aktiviti sehingga mampu menjadi usahawan jahitan seperti hari ini,” ujarnya.
Kedua-dua usahawan berkenaan turut berkongsi bahawa sokongan keluarga khususnya suami, pengurusan masa yang baik serta ketekunan menjadi faktor utama kejayaan mereka.
Mereka juga aktif di media sosial bagi mengikuti perkembangan semasa serta memanfaatkan platform digital untuk mempromosikan produk masing-masing yang boleh diikuti menerusi TikTok @_warungroti dan @pidahaziz.
-RI





