
Laporan/foto: Ahmad Shazni Shaari/Wan Muhammad Afiq Wan Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Pembinaan kemudahan trek pecut 100 meter lapan lorong baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Segambut dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasakan pembangunan sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sekolah khususnya di kawasan bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata penyediaan fasiliti sukan yang lebih moden dan selesa mampu membantu melahirkan generasi muda yang lebih aktif, sihat dan berdaya saing dalam bidang sukan serta akademik.
“Semoga anak-anak kita bukan sahaja kekal sihat, namun begitu kita dapat melahirkan lebih ramai generasi muda yang mempunyai potensi untuk mewakili Wilayah Persekutuan dan Malaysia dalam sukan olahraga,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Sementara itu, guru besar Prema Kittan berkata kemudahan trek pecut tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum, latihan olahraga dan program pembangunan pelajar.
-RI





