Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Trend Peyalahgunaan Bahan Terlarang Semakin Membimbangkan

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)

YAN, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Trend peningkatan penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah yang bukan sahaja meruntuhkan institusi kekeluargaan, malah boleh melumpuhkan produktiviti tenaga kerja muda semakin membimbangkan.

Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan Mohamad AlFaqir Abdul Halim berkata hasil operasi pihaknya mendapati penyalahgunaan bahan terlarang termasuk ketum atau piu-piu semakin meningkat dalam kalangan belia.

“Ramai individu pada peringkat awal menganggap pengambilan bahan tersebut tidak berbahaya, namun akhirnya terjebak dengan ketagihan yang memberi kesan buruk kepada kehidupan diri serta institusi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah dan Tanah Yan, di sini semalam.

Seminar berkenaan bertujuan memperkukuh kesedaran dalam kalangan penjawat awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan bebas dadah.

Para peserta memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya sepanjang taklimat yang disampaikan oleh Ketua AADK Daerah Yan.

Beliau turut berkongsi pengalaman berkaitan tindakan penguatkuasaan dan pencegahan yang dilaksanakan oleh AADK dalam menangani kes penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Menurut beliau, AADK melaksanakan pelbagai usaha pemulihan terhadap individu terlibat bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan lebih baik dan produktif dalam masyarakat.

Beliau menegaskan semua penjawat awam dan NGO perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai ejen penyampai maklumat dengan memperkukuh usaha kesedaran masyarakat serta membantu membentuk budaya kerja yang bebas daripada pengaruh dadah.

Sementara itu, salah seorang peserta seminar, Norhayani Hashim, 43, berkata program tersebut memberi pendedahan yang amat bermanfaat khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

-RI

Tinggalkan komen anda