
Laporan/foto: Hanafi Sariman/Harussani Zakaria
BAGAN, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah yang berlangsung di Jermal Jaya, semalam memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat apabila mereka berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin mencabar.
Program yang merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dengan kehadiran penduduk daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang yang mengambil peluang membeli barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal Chee Yeeh Keen, berkata pelaksanaan Program Jualan Rahmah membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang sentiasa menjadi perhatian, inisiatif sebegini amat dihargai dan perlu diteruskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Perkongsian maklumat dan isu semasa oleh Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Utara serta ADUN Bagan Jermal melalui sesi Sembang Santai.
Melalui program tersebut, pelbagai barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula, telur serta produk pengguna lain ditawarkan pada harga istimewa bagi membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.
Selain Jualan Rahmah, turut berlangsung program Jiwa@Komuniti MADANI: Sembang Santai yang menjadi platform interaktif untuk masyarakat mendapatkan maklumat secara terus berkaitan dasar, inisiatif serta pelbagai agenda pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Dalam sesi tersebut, Pegawai Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah menyampaikan penerangan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan serta isu-isu semasa yang menjadi perhatian masyarakat yang turut membuka ruang kepada penduduk untuk berinteraksi, mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan dalam suasana santai dan mesra.
Seorang pengunjung, Amuthen Thillainathan, 40, berkata program seumpama itu bukan sahaja membantu dari segi penjimatan perbelanjaan harian, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan inisiatif kerajaan.
“Saya melihat program ini sangat bermanfaat kerana kami dapat membeli barangan pada harga yang lebih murah dan pendekatan turun padang agensi kerajaan sangat baik dimana maklumat sahih daripada kerajaan dapat disampaikan secara terus,” katanya.
-RI




