Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Karnival Jom Kahwin Perkukuh Warisan Budaya Pelbagai Kaum

By 19 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fikri Johari (LMS)

TAIPING, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Penganjuran Karnival Jom Kahwin berjaya merealisasikan usaha memperkenalkan serta memelihara adat dan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini melalui pelbagai pameran dan aktiviti yang menarik perhatian pengunjung.

Isteri kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datin Seri Zavirah Shaari, berkata walaupun setiap kaum mempunyai perbezaan dari segi makanan, bahasa dan adat resam, kesemuanya membawa maksud yang sama iaitu memupuk keharmonian, perpaduan dan rasa saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

“Setiap kaum memiliki keunikan adat tersendiri yang menjadi identiti serta warisan berharga negara. Justeru, nilai-nilai warisan ini perlu terus dipertahankan dan dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya ketika merasmikan program Karnival Jom Kahwin di Taman Botani, di sini kelmarin.

Antara adat perkahwinan dari suku kaum Iban Sarawak turut dipertontonkan pada majlis tersebut.

Tambah beliau, pameran ini diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi mengenali dengan lebih dekat keunikan pakaian tradisional, adat perkahwinan, makanan serta budaya setiap kaum, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Malaysia.

Katanya lagi, karnival Jom Kahwin dilihat sebagai platform terbaik dalam mempromosikan keharmonian masyarakat majmuk serta memastikan warisan budaya pelbagai kaum terus kekal relevan dan dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.

Karnival tersebut menampilkan penyertaan 11 kaum yang mempamerkan adat dan budaya masing-masing iaitu masyarakat Melayu, Cina, Jawa, Baba Nyonya, India, Ceylon, Sikh, Siam, Orang Asli, Bajau dari Sabah dan Iban dari Sarawak.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee, Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama (LMS) Dato’ Seri Wan Mohd Isa Wan Mohd Razalli, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pokok Assam Ong Seng Guan, Pegawai Daerah LMS Mohd Nasrul Menhat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Mohamed Akmal Dahalan.

-RI

Tinggalkan komen anda