
Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
BETONG, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Komitmen tinggi petugas barisan hadapan menjadi antara faktor utama yang memastikan kelancaran Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak 2026 yang berlangsung di sini sejak 11 Jun hingga semalam.
Sepanjang pameran berlangsung, pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta pasukan kebersihan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan, kelancaran operasi serta keselesaan pengunjung sentiasa terjamin.
Menurut Lt. Muda Alice Ambrose, 22, pasukan APM sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan sepanjang program berlangsung.
“Kami sentiasa bersedia memberikan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan atau insiden yang memerlukan tindakan segera,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Sementara itu, anggota RELA, Faranklin Kiang, 41, berkata pasukannya bertanggungjawab memastikan kelancaran pergerakan pengunjung serta memantau keselamatan kawasan pameran sepanjang program berlangsung.
“Kami memastikan pergerakan di sekitar kawasan pameran berjalan lancar serta memantau keselamatan peralatan dan aset pameran secara berterusan mengikut syif yang ditetapkan,” katanya.
Bagi ketua petugas kebersihan, Nurul Farahana, 32, aspek kebersihan kawasan pameran diberi penekanan bagi memastikan pengunjung berada dalam persekitaran yang selesa dan kondusif.
“Kami memastikan kawasan pameran sentiasa bersih, kemas dan selesa sepanjang masa. Keadaan persekitaran yang terjaga turut mencerminkan imej penganjuran yang baik,” jelasnya.
Beliau berkata pasukannya turut menjalankan pemantauan berkala di ruang pameran, laluan utama dan kawasan rehat bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Komitmen berterusan petugas barisan hadapan ini membuktikan bahawa kelancaran Pameran Raja Kita bukan sahaja bergantung kepada pengisian program, tetapi turut disokong oleh dedikasi mereka yang bertugas di lapangan bagi memastikan setiap operasi berjalan dengan teratur, selamat dan lancar.
-RJ-





