
Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi/Bashyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar seluruh rakyat negeri itu menjadikan tahun 1448 Hijrah sebagai titik permulaan kepada perubahan yang lebih bermakna melalui pemikiran yang matang, tindakan berintegriti dan hati yang sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.
Titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 1448 Hijrah.
Baginda bertitah sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan pertukaran tahun dalam kalendar Islam, sebaliknya membawa pengajaran besar kepada umat Islam untuk terus memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti kehidupan berlandaskan ajaran Islam.

Raja Muda Kedah berkenan beramah mesra bersama hadirin pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Tahun 1448 Hijrah.
Menurut baginda, peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah merupakan satu strategi yang dirancang dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan tawakal bagi mempertahankan akidah umat Islam daripada penindasan dan kezaliman.
“Peristiwa tersebut seterusnya menjadi asas kepada pembentukan tamadun Islam yang berteraskan keadilan, ilmu, persaudaraan dan integriti.
“Hijrah yang sebenar ialah transformasi jiwa, perubahan pemikiran dan pembinaan akhlak. Ia menuntut kita meninggalkan kelemahan kepada kekuatan, meninggalkan kelalaian kepada keinsafan dan meninggalkan perpecahan kepada perpaduan,” titah Baginda.
Baginda turut mengingatkan bahawa hijrah paling besar adalah perjalanan hati menuju keredaan Allah SWT serta menegaskan bahawa semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan pembinaan akhlak masyarakat.
“Sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, subur dengan tanah pertanian serta gemilang dengan sejarah dan warisan, Kedah mesti terus melangkah ke hadapan dengan berpaksikan ilmu, teknologi, tadbir urus yang baik dan perpaduan rakyat yang utuh,” titah Baginda.
-RI




