
Laporan/foto: Iswandi Kassim/SK Agama MIS Sri Aman (Sri Aman)
SRI AMAN, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman menerima Anugerah Ma’al Hijrah 1448H Peringkat Negeri Sarawak bagi Kategori Sekolah Agama Rendah, semalam.
Anugerah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sempena Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Bandaraya Miri.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Agama MIS Sri Aman, Yahkup Rahim berkata pengiktirafan besar itu merupakan hasil usaha, komitmen dan doa seluruh warga sekolah, ibu bapa serta komuniti yang sentiasa bersama-sama mendukung kecemerlangan.
“Kejayaan ini menjadi bukti kukuh bahawa tiada perkara yang mustahil dicapai apabila semua pihak bergerak dengan semangat kekitaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai tema Ma’al Hijrah tahun ini iaitu Ummah Maju Makmur, Yahkup berharap agar anugerah ini menjadi pemangkin semangat untuk terus memperkukuh kualiti pendidikan.
Beliau menyeru agar warga sekolah terus komited dalam memupuk akhlak mulia serta melestarikan budaya kecemerlangan demi manfaat generasi masa hadapan.
-RJ-




