
Laporan/foto: Amalina Shazwani Suhaimi/Mohd Kamal Khamaruzzaman
BALIK PULAU, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1448H/2026M.
Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan serta inovasi yang memberi impak besar kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara.
Abdul Rahman, 62, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah besar yang akan terus mendorong beliau memperkukuh agenda pembangunan ilmu dan bakat negara, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurut beliau, Malaysia khususnya Pulau Pinang sebagai hab utama industri semikonduktor dan elektrik dan elektronik memerlukan bekalan bakat berkemahiran tinggi secara berterusan bagi menyokong operasi syarikat multinasional dan industri berkaitan.
“Visi kita ialah memastikan Malaysia terus melahirkan bakat hebat khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi supaya negara mampu bersaing dengan negara seperti Singapura, Taiwan, China dan Korea,” katanya kepada media.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan tiga lagi individu menerima pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian dalam kategori masing-masing.
Ahmad Hashim Al-Hafiz menerima Anugerah Ikon Pendakwah manakala Norhayati Sidikah Abu Bakar dianugerahkan Anugerah Ikon Keluarga Sakinah dan Nur Deena Nadzhiefa Musni pula menerima Anugerah Khas.
Kesemua anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di TVET MARA Balik Pulau, semalam.
-AA-




