Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Raja Muda Selangor Santuni Usaha Pemuliharaan Alam, Warisan Tradisional di Gombak

By 2 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka/A.Prabagaran Asaithampi (Gombak)

GOMBAK, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke beberapa lokasi di daerah ini sempena Program Gagasan Rumpun Selangor (GRS 2.0) Daerah Gombak kelmarin, yang menampilkan pengisian berteraskan pemuliharaan alam sekitar dan pemeliharaan warisan tradisional.

Baginda memulakan lawatan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dengan meninjau beberapa lokasi tarikan utama serta berkenan menanam pokok b, iaitu spesies pokok terancam yang hanya ditemukan di Hutan Simpan Kanching.

Raja Muda menerima taklimat oleh Timbalan Ketua Pengarah FRIM, Dr Norwati Muhammad (baju putih, tengah) ketika melawat Paya Burung FRIM.

Timbalan Ketua Pengarah FRIM, Dr. Norwati Muhammad berkata, lawatan tersebut turut membantu menghebahkan FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO keenam di Malaysia yang diiktiraf pada 16 Julai 2025.

“Menerusi lawatan Tuanku ini, FRIM yang juga merupakan hutan buatan manusia yang diiktiraf dunia mampu mengetengahkan bahawa aktiviti penghijauan adalah sebuah kejayaan dan boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui media.

Menurut beliau, perkenan Tengku Amir Shah menanam pokok Merawan Kanching membawa simbolik sokongan terhadap usaha penghijauan dan pemuliharaan spesies pokok yang diancam kepupusan.

Baginda turut dibawa melawat Paya Burung FRIM yang berperanan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan hutan paya serta Denai Aromatika FRIM yang menampilkan fenomena semula jadi “Crown Shyness” melalui pembentukan garisan langit unik oleh pokok-pokok kapur.

Selepas itu, Tengku Amir Shah berkenan melawat Bengkel Pak Ali Ulu Parang di Taman Melawati yang terkenal dengan penghasilan parang, pisau dan kraftangan tradisional Melayu.

Tengku Amir Shah diberi penerangan tentang penghasilan parang oleh Pak Ali.

Dalam lawatan tersebut, baginda berkenan bertemu pengusaha bengkel, Razali Mohd Thani atau lebih dikenali sebagai Pak Ali yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pertukangan dan seni ukiran tradisional.

Sepanjang lawatan, baginda diberi penerangan mengenai proses pembuatan parang bermula daripada pemilihan bahan sehingga ke peringkat kemasan akhir, selain menyaksikan demonstrasi penghasilannya serta meninjau koleksi kraftangan yang dihasilkan.

Lawatan itu memberi peluang kepada Tengku Amir Shah memahami usaha penggiat industri kecil dalam memelihara warisan seni pertukangan tradisional agar terus diwarisi generasi akan datang.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap usaha tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Pak Ali bagi membantu memperkukuh perusahaan kraftangan tradisional yang diusahakannya.

Program GRS 2.0 Daerah Gombak menjadi platform mendekatkan institusi diraja dengan masyarakat serta mengetengahkan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan warisan budaya yang menjadi identiti negeri Selangor.

-FN

Tinggalkan komen anda