Skip to main content
SarawakBerita Tempatan

Mukah Tuan Rumah Program Bakti Belia MADANI Peringkat Sarawak

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Mukah dipilih sebagai tuan rumah Program Bakti Belia MADANI 2026 Peringkat Sarawak yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata program bertemakan Belia Prihatin, Komuniti Sejahtera itu bertujuan memperkasakan peranan golongan muda sebagai agen perubahan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Lima kampung dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program iaitu Kampung Datuk, Kampung Sungai Ragei, Kampung Sungai Pegei, Kampung Penakub Permai dan Kampung Tellian Laut.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada belia untuk berbakti kepada masyarakat, malah menjadi platform untuk mereka memahami kehidupan masyarakat luar bandar serta menghargai kepelbagaian budaya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaAktif, hari ini.

Salah satu keunikan program kali ini ialah pelaksanaan konsep keluarga angkat yang membolehkan peserta ditempatkan bersama keluarga angkat di kampung terlibat sepanjang program berlangsung.

Pendekatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mendalami kehidupan masyarakat setempat termasuk aspek sosioekonomi, adat resam, seni dan budaya.

Selain itu, program turut menampilkan aktiviti Randau Belia yang berkonsepkan sesi dialog bagi memberi ruang kepada golongan muda berkongsi pandangan mengenai isu semasa dan pembangunan belia.

-RJ-

Tinggalkan komen anda