
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak 3,869 syarikat melibatkan 14,447 kenderaan di seluruh Sarawak telah berjaya didaftarkan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat kelmarin.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Sri Aman/Betong, Qartinee Mohamad Esa berkata SKDS merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan dan sektor yang benar-benar layak, selain mengurangkan ketirisan serta meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi negara.
“Syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dapat terus menikmati akses kepada diesel bersubsidi bagi menyokong kelangsungan operasi perniagaan, sektor logistik, pengangkutan dan aktiviti ekonomi berkaitan.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam menjayakan pelaksanaan dasar kerajaan ini demi memastikan manfaat subsidi diesel dapat dinikmati secara adil, telus dan bersasar oleh kumpulan yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Program Taklimat dan Kaunter Pendaftaran Bergerak SKDS anjuran KPDN Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Beliau berkata kejayaan jumlah pendaftaran itu mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen tinggi syarikat serta pengusaha kenderaan komersial untuk mematuhi sistem subsidi yang lebih tersusun, telus dan berkesan.
Sementara itu, Qartinee berkata program taklimat itu dianjurkan bagi meningkatkan pemahaman komuniti perniagaan terhadap pelaksanaan SKDS serta memudahkan proses pendaftaran syarikat dan kenderaan yang layak menerima kemudahan diesel bersubsidi.
Qartinee turut memaklumkan bahawa KPDN Negeri Sarawak akan terus mempergiatkan program libat urus, sesi taklimat dan kaunter pendaftaran bergerak di pelbagai lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai syarikat serta pemilik kenderaan komersial yang layak dapat menyertai SKDS.
-FN






