Skip to main content
Berita TempatanSabah

MAFFI Gerak Kempen Kebun Dalam Sekolah Libatkan PIBG

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Kenny Thomas (Tenom)

TENOM, 16 JUN (MalaysiaAktif)– Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah dalam rangka mempergiatkan usaha untuk mempromosi Kebun Dalam Sekolah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata kesedaran terhadap keterjaminan makanan harus bermula daripada peringkat awal usia agar generasi muda memahami aktiviti pertanian dan penanaman amat diperlukan untuk menjamin pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan harian.

“Kementerian mengemukakan cadangan kepada Jabatan Pendidikan Negeri supaya dapat bekerjasama dalam usaha mempromosi aktiviti pertanian dalam sekolah.

“Ada beberapa sekolah yang mempunyai pendidikan Tingkatan 4 yakni kemahiran pertanian, kita sudah mulakan.

“Namun begitu, ada juga sekolah-sekolah yang tidak mempunyai subjek pembelajaran pertanian, yang ini kita minta supaya PIBG (Persatuan Ibu Bapa Dan Guru) bergerak aktif membantu pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Pesta Kaamatan Sekolah Menengah St. Anthony, hari ini.

Menurutnya lagi, kementerian akan menyediakan khidmat nasihat dan mengarahkan semua pegawai pertanian dan pegawai agensi di bawah kementerian untuk membantu pihak sekolah.

“Sekiranya, berjalan secara teratur dan mempunyai kerjasama daripada semua, mungkin kita akan gerakkan secara besar-besaran pada tahun hadapan.

“Untuk tahun ini, kita mulakan dengan kesedaran dahulu dan tahun hadapan kita akan mulakan dengan pelaksanaan,” ujarnya.

Terdahulu, Jamawi merasmikan Taman Hidroponik SM St Anthony yang diusahakan oleh YDP PIBG SM St Anthony, Mujani Idris.

Pada majlis itu, Jamawi juga menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM32,000 kepada Pengetua Sekolah, Samuel Stimin bagi pembaikan dalam sekolah dan kegunaan aktiviti PIBG.

-RJ-

Tinggalkan komen anda