
Laporan/foto: Sarah Nur & SitiHajar/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan nama Baginda kepada Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Bandar Meru Raya yang kini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah pusat bertaraf mega dan berteknologi tinggi itu bukan sekadar sebuah kemudahan kesihatan, malah mencerminkan satu penghijrahan pendekatan negara dalam mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi ke tahap lebih maju dengan mengutamakan nilai kemanusiaan dan keinsanan.
Titah baginda penubuhan pusat tersebut menjadi simbol bahawa negara menghargai setiap nyawa, warga pekerja dan institusi kekeluargaan dalam menyediakan peluang kedua kepada mereka yang diuji dengan penyakit atau kecacatan untuk kembali membina masa hadapan yang bermaruah.
“Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui tersergamnya deretan bangunan pencakar langit, angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi atau kemudahan infrastruktur yang besar.

Baginda turut diberikan sembah makluman mengenai kemudahan dan peralatan yang terdapat di pusat rehabilitasi tersebut.
“Kemajuan yang sebenar terletak pada keupayaan dan kesungguhan negara memperkenalkan serta melaksanakan program-program sosial untuk memelihara martabat insan, membela mereka yang lemah dan menyediakan peluang kedua kepada sesiapa sahaja yang menghadapi nasib malang diuji dengan penyakit, kecederaan atau kehilangan upaya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics PERKESO di Bandar Meru Raya, di sini kelmarin.
Turut hadir Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Manusia Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan.
Sementara itu, Ramanan berkata pusat berkenaan yang memiliki bilangan unit teknologi robotik Cyberdyne Hybrid Assistive Limb (HAL) terbanyak di dunia menyasarkan untuk menjadi hab rujukan global bagi perkhidmatan neuro-robotik.
Beliau berkata pusat yang dibina di atas tanah seluas 38.47 ekar ini menawarkan 151 jenis perkhidmatan komprehensif termasuk rawatan sibernik, neuromodulasi dan program Advanced Return-To-Work (RTW) bagi membantu pekerja yang tercedera kembali produktif.
“Fasiliti mega ini mampu menampung rawatan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa dengan sasaran memberi manfaat kepada 3,000 pesakit setahun dan seramai 1,095 pesakit telah menerima rawatan di sini sejak mula beroperasi pada Julai 2025 sehingga kini.
“Sebanyak 65 unit peralatan Cyberdyne meliputi Lower Limb, Single Joint, dan Lumbar disediakan untuk manfaat pesakit,” katanya.
Pusat berkenaan turut menempatkan Platform Rehabilitasi Biomekanik Lanjutan dan Makmal Analisis Pergerakan Lanjutan yang menggunakan teknologi canggih seperti sistem penangkapan pergerakan (motion capture) dan plat daya (force plates).
-RI




