
Laporan/foto: Nur Imanina/Mohamad Ezwandi (Perak)
IPOH, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Program intervensi intensif di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya memulihkan kecederaan parah tangan kanan pengawal keselamatan, Omar Abdul Hamid.
Omar, 55, sebelum ini mengalami kecederaan triple fracture (patah tiga) yang kompleks akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada Mei tahun lalu sehingga memerlukan pembedahan besar.
Beliau kini kembali bertugas di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar selepas mencapai tahap pulih 90 peratus.
“Semasa mendaftar masuk pada 22 Julai tahun lalu, pergerakan tangan kanan saya memang terkunci dan keputusan ujian menunjukkan tahap kefungsiannya hanyalah sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja,” katanya ketika ditemui sejurus selesai Program Pemasyhuran Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah, di sini kelmarin..

Omar berkongsi pengalaman menjalani Program Return to Work (RTW) PERKESO yang membantu memulihkan fungsi tangan kanannya daripada hanya 20 hingga 30 peratus kepada 90 peratus melalui rawatan fisioterapi dan teknologi robotik.
Dalam pada itu, beliau turut menjalani latihan fisioterapi intensif dan rawatan teknologi robotik termaju selama enam minggu di pusat berkenaan demi memulihkan semula fizikalnya.
“Sebaik sahaja keluar pada 29 Ogos tahun lalu, keupayaan fungsi tangan saya meningkat mendadak sehingga 90 peratus. Kemudahan di sini memang bertaraf dunia,” katanya.
Kesembuhan itu membolehkan Omar bebas daripada limitasi fizikal dan kembali menjalankan tugas hakiki di lapangan seperti rondaan perimeter kampus.
Kejayaan itu membuktikan keberkesanan program Return to Work (RTW) PERKESO membantu pencarum untuk kembali berdikari.
-RI




