
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifullah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Para peminat emas rambang mata melihat kilauan emas di Terengganu yang dikatakan antara yang paling murah di pasaran ketika ini.
Hasil tinjauan lapangan di kedai-kedai emas di Kuala Nerus mendapati, rata-rata peniaga emas menjual emas 916 pada harga RM226 hingga RM229 per gram berbanding di negeri lain yang menjual di antara RM236 hingga RM245.
Sementara itu, pemilik kedai emas Al-Ain, Zaleha Mohd Zin, 50, berkata harga emas di negeri ini lebih murah antara 10 hingga 20 peratus berbanding di tempat lain.
“Ini menjadikan masa yang terbaik untuk para pelanggan membeli emas bagi peminat setianya kerana harga emas menunjukkan unjuran menurun dari semasa ke semasa ketika ini.

Zaleha Mohd (kanan) sibuk melayan pelanggan yang ramai ketika ini berikutan harga emas turun bermula semalam.
“Harga mula turun bermula semalam dan menyebabkan para pelanggan semakin ramai datang ke kedai untuk menambahkan koleksi masing-masing,” katanya ketika ditemu ramah di premis perniagaannya, di sini semalam.
Menurut Zaleha, meskipun ramai pelanggan yang datang ke premis untuk membeli emas, hanya yang telah lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan masuk ke dalam premis bagi tujuan pengawalan jumlah pengunjung dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Harga emas di Terengganu lebih murah berbanding tempat lain kerana kebanyakan peniaga bekerja sendiri dan menyewa premis yang murah.
“Kos sewa kedai yang murah, di samping faktor bekerja sendiri dan tempat tumpuan pelancong menjadikannya lebih murah.
“Ia diakui sendiri oleh orang luar kerana ramai pelanggan saya dari Kuala Lumpur, Johor dan Melaka membeli emas secara dalam talian di kedai kami,” katanya.
Bagi penggemar emas, yang juga ahli perniagaan Diayana Amirah Zainuddin, 24, berkata ketika ini harga emas semakin turun menyebabkan dia tidak melepaskan peluang untuk membeli emas bagi menambahkan koleksi emas sedia ada miliknya.
“Hampir setiap bulan saya akan membeli emas dan kebetulan ketika ini harga emas semakin turun, jadi saya membeli emas dalam kuantiti yang banyak.
“Meskipun masih muda saya membeli emas ketika harga turun dalam kuantiti banyak bagi tujuan pelaburan pada jangka masa panjang,” katanya.
Selain itu, bagi Normala Ahmad, 59, memberitahu beliau membeli emas ketika ini untuk dipakai secara harian dan membeli bagi persiapan anaknya yang akan melangsungkan perkahwinan pada bulan hadapan.
“Mak cik membeli emas ketika ini apabila dimaklumkan bahawa sepanjang minggu ini berlaku penurunan harga emas 916.

Normala (kiri) mengambil kesempatan harga emas turun ketika ini untuk membeli emas bagi anak perempuannya yang bakal melangsungkan perkahwinan.
“Kebetulan pula pada bulan hadapan anak mak cik akan melangsungkan perkahwinan dan membeli emas untuk persiapan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membeli emas.
-ii-