
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Rata–rata peniaga melahirkan rasa syukur dan gembira apabila menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 yang akan diterima secara berperingkat bermula hari ini.
Penerima bantuan GPK, Che Ku Musa Che Ku Mat, 51 yang bekerja sebagai penjual pakaian terpakai, berkata permohonan beliau telah diluluskan dan akan menggunakan bantuan berkenaan dengan sebaiknya.
“Saya telah semak status permohonan dan alhamdulillah telah berjaya lulus.
Saya akan menggunakan bantuan yang diberikan ini untuk membuat pusingan modal perniagaan saya,” katanya dengan nada teruja ketika ditemu ramah di premis perniagaannya, di sini semalam.
Katanya, bantuan secara sekali beri ini akan meringankan beban para peniaga yang terjejas teruk kerana sebelum ini mereka tidak boleh berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, peniaga air minuman, Maisarah Abdul Majid, 27, berkata dia yang telah memulakan perniagaan sejak lima tahun lalu berasa gembira apabila kerajaan sentiasa memastikan kebajikan para peniaga kecil walaupun ketika negara mengalami pandemik COVID-19.

GKP 4.0 di bawah Pakej PEMULIH membantu golongan usahawan kecil bangkit selepas terjejas teruk kerana pandemik COVID-19.
“Meskipun negara ketika ini sedang bergelut menghadapi pandemik COVID-19, tetapi kebajikan para peniaga kecil tetap diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Terengganu kini berada di Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3, sekaligus memberi peluang kepada para peniaga untuk beroperasi dengan lebih lama iaitu dari pukul 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam di sini,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan tersebut, katanya bantuan yang diterima dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS.

Maisarah (kanan) gembira kerana kerajaan prihatin dan menjaga kebajikan peniaga kecil dan sederhana.
“GKP membantu golongan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pelbagai inisiatif, termasuk pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 sebanyak RM1,000.
“Penerima yang layak Bagi GKP 4.0 di bawah Pakej PEMULIH dan penyaluran bantuan akan dibuat kepada pemohon sedia ada dan penerima baharu pada bulan September dan November 2021,” katanya.
-ii-