
Laporan/foto: Azreen Ahmad (Jasin)/FB Ahmad Hamzah
JASIN, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Perikanan Melaka (DOF) telah mengenalpasti tiga perairan pulau yang dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan Taman Laut iaitu perairan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ahmad Hamzah, berkata ketiga-tiga perairan ini dicadangkan untuk diwartakan sebagai Taman Laut di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
“Melalui pewartaan ini, kelestarian kepelbagaian biodiversiti marin di kawasan perairan Negeri Melaka akan terjamin serta menyumbang kepada obligasi negara pada peringkat antarabangsa,” katanya yang ditemui dalam lawatan kerjanya ke Pulau Undan, di sini kelmarin.
Hamzah memaklumkan peruntukan sebanyak RM110,000 telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Melaka pada tahun 2021 untuk melaksanakan aktiviti dan kerja-kerja pemantauan habitat, rehabilitasi, restorasi karang, perolehan peralatan selaman, pembersihan dalam air, serta program meminimakan ancaman terhadap hidupan marin di ketiga-tiga pulau tersebut.
“Kawasan yang akan diwartakan hanya perairan pulau manakala daratan akan kekal hak milik pemilikan asal, namun penyediaan kemudahan asas seperti jeti, tandas, bilik persalinan pakaian dan lain-lain keperluan perlu disediakan oleh DOF di atas tanah daratan pulau Taman laut bagi memberikan keselesaan pengunjung menggunakan peruntukan Tabung Amanah Taman Laut dan Rizab Laut Persekutuan,” ujarnya.
Salam pada itu, Ketua Pengarah Perikanan Ahmad Tarmidzi Ramly, berkata melalui usaha pewartaan ini, jabatan berharap dapat memastikan kelestarian sumber perikanan dan biodiversiti marin di kawasan tersebut.
“Sebanyak 23 unit tukun rak besi bersalut pasir yang ditanam dengan batu karang telah dipasang di kawasan perairan Pulau Undan pada tahun 2014 dan tahun 2021,” katanya.
-FF