
PUTRAJAYA, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Misi Peningkatan Eksport (EAM) secara maya ke Jerman pada 18-22 Oktober, 2021, untuk penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam sektor jentera dan peralatan (M&E).
Program EAM itu dianjurkan menerusi kerjasama dengan Persatuan Pengurusan, Pembelian dan Logistik Rantaian Bekalan (BME) Jerman.
Dalam kenyataan pada Rabu, MATRADE berkata objektif utama program itu adalah untuk memaparkan kemampuan industri M&E Malaysia kepada syarikat-syarikat Jerman bagi membolehkan mereka mengenal pasti potensi peluang rangkaian dengan kalangan pembekal di Malaysia.
“Program misi itu merangkumi webinar mengenai peluang pasaran di Jerman dan disusuli dengan sesi pembentangan rancangan perniagaan oleh syarikat Malaysia serta satu siri mesyuarat perniagaan secara maya yang telah diatur (eBizMatch),” kata MATRADE.
Menurut agensi itu, program terbabit dianjurkan secara maya berikutan pandemik COVID-19 dan menyaksikan penyertaan 18 syarikat-syarikat Malaysia yang mewakili pelbagai segmen M&E seperti kejuruteraan mekanikal, logam, plastik dan pembinaan berkaitan kimpalan.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Eropah ketika ini, berkata delegasi Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan BME di Frankfurt pada 13 Oktober lepas.
Beliau berkata, pihak BME turut berkongsi komitmen untuk bekerjasama erat dengan MATRADE dalam menjalin hubungan perniagaan untuk ahlinya bagi mendapatkan sumber dari Malaysia.
Ini berikutan Malaysia adalah pengeluar bahagian jentera, komponen dan penyelesaian berkualiti bagi keperluan syarikat Jerman selain dapat menyokong perniagaan kejuruteraan perindustrian, reka bentuk produk dan pembangunan teknologi serta operasi perniagaan mereka di serata dunia.
“Jerman merupakan pembekal jentera terkemuka dunia dengan perolehan hasil tahunan industri itu mencecah 220 bilion euro dan ia turut berperanan sebagai pasaran eksport penting untuk pengeluar M&E Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Mohd Mustafa Abdul Aziz pula menyifatkan kerjasama dengan BME sebagai tepat pada masanya dan sejajar dengan peranan agensi tersebut untuk memberi kemudahan dan pengalaman penyumberan yang lancar bagi membolehkan syarikat terbabit mencatat kemajuan dalam tempoh mencabar ketika ini.
Program EAM secara maya itu mengetengahkan penggiat M&E Malaysia seperti Tonasco, Swift Bridge Technologies, UWC Industrial, SP Teams dan Newbillion Precision Metal manakala syarikat Jerman termasuk Maschinenfabrik Gerd Mosca, SULO Deutschland serta Siegenia Group.
Pada 2020, Jerman kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dalam rantau Kesatuan Eropah manakala Malaysia masih menjadi rakan dagang terbesar untuk Jerman dalam kalangan negara-negara ASEAN.
— BERNAMA