
Oleh Abdul Rashid Yusof (Machang)
MACHANG, 15 Jan (Malaysiaaktif) — Pejabat Agama Jajahan Machang yang lebih lima tahun ditinggalkan kosong kini menjadi sarang penagih dadah.
Bangunan yang terletak di tepi jalan berdekatan Dewan Majlis Daerah Machang tidak lagi digunakan kerana Pejabat Agama telah berpindah ke pejabat baharu di Jalan Pasir Puteh.
Menurut seorang peniaga, Hajah Zainab Saleh, beliau pernah terserempak dengan penagih yang keluar masuk ke kawasan tersebut.
Pegawai Agama Jajahan, Mejar Ibrisam Jalaludin pula memberitahu premis berkenaan pada mulanya dirancang untuk dijadikan Pusat Dakwah, tetapi hasrat itu tidak kesampaian.
Walau bagaimanapun, menurut beliau masalah penggunaan premis itu untuk kegiatan penagih dadah dalam perhatian mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab. Ghani memaklumkan pihaknya menerima aduan tentang perkara tersebut dan kini ia dalam pemantauan.