
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM 64 juta diperuntukkan kerajaan bagi pelaksanaan Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Labuan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Labuan turut menerima limpahan bagi fasa pertama Inisiatif Jendela sejak dilancarkan pada tahun 2020.
“Kita cuba pertingkan dari segi ‘blind spot’, yang mana peningkatan dari rangkaian 3G ke 4G dibuat.
“Lima menara telekomunikasi baharu juga ditambah di Labuan, dua menara telah siap dan tiga lagi dalam pelaksanaan selain pemasangan gentian fiber optik yang meliputi 6000 premis dalam fasa pertama ini,” katanya yang ditemui media semasa Majlis Menandatangani MOU Sistem CIPM (Communication Infrastructure Permit Managament) antara Perbadanan Labuan (PL) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam.

Amir Hussien (paling kanan) bersama Mohd Ali Hanafiah (dua dari kanan) dan Rithuan Mohd Ismail (dua dari kiri) bergambar kenangan selepas memeterai MOU Sistem CIPM.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, berkata Majlis Menandatangani MOU Sistem CIPM antara SKMM dan PL itu selaras dengan inisiatif ke arah Program Smart City Labuan.
“Sistem ini memperkukuhkan tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan melalui perkhidmatan teknologi digital dan secara dalam talian bagi memberi perkhidmatan berkualiti dan efektif.
“Maklumat yang terdapat di dalam sistem ini akan sentiasa menyediakan maklumat terkini berkenaan dengan lokasi secara pemetaan dan mampu untuk mengenalpasti lokasi struktur komunikasi yang dibina tanpa permit.
“Penggunaan sistem CIPM itu juga katanya mengurangkan ketirisan hasil PL terhadap struktur-struktur menara telekomunikasi yang tidak berpermit melalui program pemutihan dan penguatkuasaan serta pemantauan bersama antara PL dan SKMM,” katanya.
-RI