
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/ Tengku Saipulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Setiap awal tahun, yakni pada bulan Januari sememangnya dinanti-nantikan oleh semua pemegang unit atau pencarum yang mempunyai simpanan pelaburan dalam skim Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Ini berikutan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit, dengan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini akan memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini 2021.
Hasil tinjauan di lapangan mendapati, orang ramai mula membanjiri dan beratur di cawangan – cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), kaunter–kaunter ejen ASNB dan perkhidmatan di seluruh daerah seawal 7 pagi di sini, semalam bagi mengeluarkan dividen masing-masing.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Salwati Abdul Rahman, 33, berkata meskipun pemberian dividen pada tahun ini tidak terlalu tinggi tetapi dia bersyukur kerana dapat menampung lebihan kos perbelanjaan keperluan awal tahun.

Salwati Abdul bersyukur kerana dividen yang diberikan akan digunakan untuk membeli barangan persekolah yang akan dibuka pada minggu hadapan.
“Dividen dan bonus yang telah diterima itulah yang akan digunakan oleh ibu bapa bagi menampung keperluan sesi persekolahan yang kini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.
“Bukan itu sahaja, sekiranya menghadapi situasi mendesak memerlukan bantuan kewangan segera, ketika inilah buku akaun yang ada seperti skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) menjadi penyelamat untuk digunakan oleh kami keluarga,” tambahnya.
Bagi Mohd Akhyar Akhbar, 37, pula, katanya meskipun pengagihan dividen bagi tahun 2021 adalah sebanyak 5.00 sen seunit, beliau memahami dengan ekonomi semasa yang masih lagi di dalam proses pemulihanan daripada pandemik COVID-19.

Mohd Akhyar tidak menjangkakan peratus dividen yang tinggi kerana memahami ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.
“Saya dan keluarga tidak berharap dan menjangkakan akan mendapatkan dividen yang tinggi untuk tahun ini kerana kami memahami keadaan ekonomi semasa yang masih belum pulih sepenuhnya kesan daripada penularan wabak ketika ini,” katanya ketika ditemui sedang beratur di Pejabat Pos Batu 6.
Tambah Mohd Akhyar, dividen yang diberikan ini akan digunakan sebaiknya oleh dia sekeluarga bagi menampung perbelanjaan seharian, ditambah pula anak-anaknya bakal memulakan sesi persekolahan yang baharu pada minggu hadapan.

Orang ramai boleh mengeluarkan dividen masing-masing di semua cawangan – cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), kaunter – kaunter ejen ASNB dan perkhidmatan yang disediakan.
Menggulas mengenai Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah dana amanah pelaburan khusus untuk kaum bumiputera Malaysia.
Objektif dana ini adalah untuk menyediakan satu cara simpanan alternatif bagi bumiputera Malaysia selain bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing kepada pelabur-pelabur.