
Oleh Azhar Haji Ismail (Kelantan/ Lombok)
LOMBOK NUSA TENGGARA BARAT (NTB), 9 Feb (Malaysiaaktif) – Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) meneruskan tradisi menghadiri acara puncak Hari Pers Nasional HPN 2016 yang dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo di Pantai Kuta Lombok, pagi ini.
Seramai 12 orang delegasi ISWAMI-Malaysia mula berkampung di sini sejak Ahad bagi menyertai pelbagai acara sempena perhimpunan ini.
Ini merupakan penyertaan ISWAMI-Malaysia ke HPN untuk kali keempat selepas Batam dan Bengkulu. Penyertaan yang pertama ialah HPN 2013 di Manado, Sulawesi.
HPN merupakan acara sambutan tahunan bagi menghargai sumbangan para wartawan Indonesia kepada pembangunan rakyat dan Republik Indonesia.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Muhamad Hasyim. Turut hadir, beberapa ketua pengarang media Malaysia dan wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).