
Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Kedah)
BANDAR BAHARU, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Penduduk kampung daripada golongan berpendapatan rendah di sini semalam berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian secara percuma di Pasar Percuma yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Desa Kampung Belakang Pekan, Mukim Sungai Kechil Ilir Bandar Baru.
Pasar ini merupakan inisiatif kemasyarakatan Perpustakaan Desa Kampung Belakang Pekan bersama Komuniti Skuad Jom Bantu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.
Selain barangan keperluan harian, barangan lain, termasuk pakaian, makanan, minuman, pemeriksaan kesihatan percuma dan servis motorsikal percuma juga turut disediakan.
Seorang surirumah yang ditemui Norlia Najib, 68, dari Kampung Sungai Buaya berkata, program ini amat baik dan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan dapurnya.
“Konsep Pasar Percuma ini juga dapat membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang kerana sesiapa saja boleh mendapatkan barangan secara percuma,” ujarnya.
Masyarakat setempat juga berterima kasih kepada para penyumbang dan NGO yang banyak menyumbang barangan untuk menjayakan Pasar Percuma ini.
-ZS-